Simposium Jackson Hole: Apa Jangkaan Pelabur Pada Ucapan Jerome Powell?

383

Perhimpunan ekonomi tahunan anjuran Federal Reserve Bank of Kansas City di Jackson Hole, kini menjadi tumpuan utama pasaran di mana ia diadakan secara bersemuka buat kali pertama sejak pandemik Covid-19 bermula pada 2020.

Menjadi persidangan paling lama wujud di dunia sejak 1982, ia merupakan forum yang menghimpunkan pegawai-pegawai bank pusat, penggubal dasar, ahli akademik dan ekonomi dari seluruh dunia.

Dengan topik perbincangan ‘Reassessing Constraints on the Economy and Policy’ pada tahun ini, para peserta yang hadir akan membentangkan, membincangkan dan membahaskan topik tersebut.

Namun, apa yang paling menjadi tumpuan pelabur adalah ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang akan diikuti dengan teliti untuk mendapatkan petunjuk tentang penetapan kadar faedah  menjelang mesyuarat dasar 20-21 September.

Meskipun begitu, ramai yang menjangkakan bahawa Jerome Powell akan terus mengulangi pendirian yang sama untuk memerangi inflasi.

Powell mungkin menekankan bahawa bank pusat akan menggunakan semua kuasa yang diperlukan dalam menaikkan kadar faedah serta memberi indikasi untuk mengekalkan kadar yang tinggi dalam tempoh lebih lama.

Tambahan daripada itu, ketua bank pusat itu juga mungkin tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai kadar yang mereka perlu naikkan, sama ada 50 mata asas atau 75 mata asas pada mesyuarat September, yang kini menjadi perdebatan pasaran.

Sebaliknya, beliau berkemungkinan akan mengulangi bahawa keputusan seterusnya bergantung kepada data ekonomi yang masuk di mana sebelum mesyuarat polisi bulan depan berlangsung, terdapat satu lagi laporan pekerjaan dan inflasi akan dikeluarkan.

Selain Jerome Powell, tumpuan juga akan diberikan kepada Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda dan Gabenor Bank of England (BOE) Andrew Bailey.

Malangnya, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Christine Lagarde tidak dapat menghadiri forum tersebut, sebaliknya beliau akan digantikan dengan Ahli Lembaga Eksekutif ECB Isabel Schnabel.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat