Keputusan dasar mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) menjadi tumpuan utama pasaran hari ini, setelah diberikan jangkaan positif daripada Federal Reserve (Fed) pada pertemuan terdahulu.
Pada mesyuarat polisi Jun, Fed melihat kenaikan kadar faedah akan berlaku lebih cepat daripada dijangkakan, yang mana ia akan didahului oleh pengurangan dalam pembelian aset mereka.
Namun, kenyataan susulan daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell dalam beberapa keterangan di hadapan Senat dan Dewan Perwakilan, menyebabkan pelabur tertanya-tanya bila pengurangan pembelian bon akan dilaksanakan.
Pada pertemuan kali ini, penganalisis menjangkakan Fed akan terus mengekalkan dasar monetari semasa, tetapi mungkin akan memberi petunjuk mengenai pengurangan.
Sekiranya Fed mengatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan Covid semasa berikutan penularan varian virus Delta, dan memberi alasan untuk memperlambatkan pengurangan, ia mungkin akan mendorong penurunan US dolar.
Namun, sekiranya Fed mengabaikan kerisauan tersebut dan mengatakan dengan jelas mengenai pengurangan pada masa akan datang, US dolar berpotensi untuk meningkat lebih tinggi.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pada mesyuarat polisi baru-baru ini, para pembuat dasar telah berbincang mengenai pengurangan pembelian bon.
Powell sebelum ini pernah menyatakan bahawa penularan varian Delta akan menyukarkan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat, jadi, tidak hairanlah sekiranya beliau menyatakan kebimbangan yang sama pada kenyataan susulannya esok.
Pada awal sesi Eropah, raja matawang US dolar didagangkan lebih stabil berbanding pesaing utamanya di sekitar harga 92.55.