Minit mesyuarat FOMC yang diterbitkan awal pagi tadi mendedahkan bahawa para pembuat dasar Federal Reserve (Fed) berbicara mengenai pengurangan (tapering) dalam mesyuarat terbaru mereka.
Walaupun minit tersebut menyatakan bahawa beberapa pegawai melihat syarat-syarat untuk tapering akan dicapai lebih awal daripada dijangkakan, tetapi pegawai lain mengatakan mereka harus bersabar dalam menilai kemajuan ke arah sasaran bank pusat dan dalam mengumumkan perubahan untuk pembelian aset.
Beberapa pembuat dasar menyebut mengenai pemulihan ekonomi yang berjalan lebih cepat daripada dijangkakan bersama dengan kenaikan inflasi yang terlalu besar, dan susulan itu Fed perlu menarik semula langkah rangsangan dalam dasar monetarinya.
Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa mereka tidak perlu terburu-buru dan pasaran harus bersiap sedia sebelum melakukan apa-apa perubahan.
Sebilangan besar pembuat dasar merasakan kemajuan yang lebih besar dalam pemulihan ekonomi secara umum dilihat belum dipenuhi, tetapi bersetuju bahawa mereka perlu bersedia bertindak jika inflasi atau risiko lain berlaku.
Pada pertemuan akan datang, para pembuat dasar sepakat untuk terus menilai kemajuan ekonomi dan membincangkan mengenai rancangan untuk perubahan dalam pembelian aset mereka. Tambahan daripada itu, mereka akan memberikan notis lebih awal sebelum mengumumkan pengurangan dalam kadar pembelian.
Dolar greenback yang pada mulanya menyusut susulan penerbitan ini, kembali mencatatkan peningkatan dan didagangkan lebih tinggi pada sesi Asia hari ini.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama didagangkan di sekitar harga 92.76.