Tambah Ketegangan, AS Sekat Import Kapas China

326

Amerika Syarikat (AS) semalam melarang import produk kapas yang dihasilkan Xinjiang Production and Construction Corps (XPCC), susulan maklumat yang mendakwa terdapat kerahan tenaga buruh paksa, lapor Agensi Anadolu.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkata, pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di semua pintu masuk akan menyekat penghantaran XPCC, sebuah pertubuhan ekonomi dan separa tentera yang mendapat manfaat daripada barangan dihasilkan buruh paksa dari Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur.

“Pejabat perdagangan CBP mengeluarkan arahan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap produk kapas yang dibuat XPCC. Larangan itu tertakluk untuk semua kapas dan produk kapas dihasilkan XPCC dan entiti di bawahnya,” kata agensi itu dalam satu kenyataan seperti dipetik oleh Bernama.

Pada Julai, Washington menyenarai hitam XPCC, kerana didakwa turut terlibat dalam tindakan keras Beijing terhadap masyarakat Uighur Islam-Turki di Xinjiang. Turut disenarai hitam bekas pegawai operasi XPCC, Sun Jinlong dan pegawai pemerintah China serta komandan XPCC, Peng Jiarui.

Bagaimanapun, China berulang kali menafikan tuduhan itu.

Sementara itu, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Konsortium Hak Asasi Pekerja, XPCC mengawal satu pertiga pengeluaran kapas di wilayah berkenaan dan kira-kira 6% di peringkat global.

“Tindakan CBP merupakan tamparan hebat bagi setiap syarikat berjenama yang berhasrat mahu mendapatkan bekalan kapas di wilayah Xinjiang,” ujar pengarah eksekutif pertubuhan berkenaan, Scott Nova menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Lapor AP, langkah tersebut dilaksanakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump selepas Kongres AS mempertimbangkan undang-undang yang akan mengisytiharkan semua barangan yang dihasilkan di Xinjiang sebagai produk buruh paksa dan dilarang diimport ke AS.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat