Tertinggi Dalam Sejarah, Petronas Untung RM101.6 Bilion!

1,386

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat sejarah tersendiri susulan prestasi terbaiknya dengan mengaut keuntungan luar jangka pada 2022.

Syarikat minyak negara itu merekodkan keuntungan bersih RM101.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, melonjak dua kali ganda berbanding RM50.9 bilion setahun lalu.

Ia juga mencatat hasil tertinggi sepanjang masa sebanyak RM375.3 bilion pada tahun lepas daripada RM248 bilion sebelumnya susulan peningkatan 51.3%.

Pengukuhan ini sememangnya sudah dijangka berikutan lonjakan harga minyak dunia pada tahun lalu disebabkan perang Rusia dan Ukraine serta permintaan yang meningkat ketika pasca-Covid.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha berkata 74% daripada hasil tersebut diperoleh melalui operasi eksport dan antarabangsa.

Petronas merekodkan jumlah purata pengeluaran harian sebanyak 2,434,000 tong bersamaan minyak sehari (boe/d) pada 2022, lebih tinggi daripada 2,275,000 boe/d pada 2021.

Antara pemacu utama adalah peningkatan keseluruhan permintaan untuk gas di Semenanjung Malaysia ditambah dengan peluang yang direalisasikan dan prestasi yang lebih baik daripada operasi antarabangsa.

Sungguhpun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz memberi amaran bahawa cabaran dalam turun naik permintaan minyak dari tahun lepas akan berterusan pada tahun ini.

Justeru, syarikat itu melihat potensi harga menjadi sederhana pada 2023 seiring dengan jangkaan kelembapan ekonomi global.

Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat