Trump ‘Rayu’ Xi Jinping Untuk Membantunya Menang Pilihan Raya 2020?

668

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump didakwa meminta pemimpin China, Xi Jinping untuk membantu beliau memenangi pilihan raya presiden 2020 yang akan berlangsung pada November ini.

Bekas Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton menyatakan perkara tersebut di dalam buku yang ditulis oleh beliau sendiri, dengan mendakwa pembelian barangan pertanian yang ditingkatkan oleh China membolehkan Trump meneruskan tugasnya untuk penggal kedua di White House.

The Washington Post yang memperoleh salinan buku tersebut, mengatakan Bolton menulis bahawa ketika pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut di sidang kemuncak Kumpulan 20 pada Jun 2019 di Jepun, Trump dikatakan telah mengubah topik perbualan kepada pilihan raya yang akan datang.

Beliau didakwa menyebut mengenai kemampuan ekonomi China untuk mempengaruhi kempen yang sedang berlangsung, memohon kepada Xi Jinping untuk memastikan beliau menang.

Buku yang bertajuk ‘The Room Where It Happened : A White House Memoir’ itu juga turut mendedahkan bahawa Trump juga menekankan mengenai kepentingan petani dan meningkatkan pembelian kacang soya dan gandum oleh China dalam hasil pilihan raya.

Pada pertemuan sama, Xi juga mempertahankan pembinaan kem perumahaan untuk 1 juta Muslim Uighur di Xinjiang, China, dan Trump menyatakan persetujuannya dengan mengatakan ia merupakan tindakan yang tepat.

Kenyataan yang didedahkan dalam buku ini dikatakan mempunyai persamaan dengan tindakan Trump yang mengakibatkan siasatan pemecatannya dijalankan, di mana beliau telah menekan Presiden Ukraine untuk membantunya menyiasat Joe Biden, pesaing politiknya sebagai pertukaran kepada bantuan ketenteraan.

Malah, mengenai skandal Ukraine itu sendiri, Bolton juga menyebut perbualan peribadinya dengan Trump yang mengesahkan ‘quid pro quo’ yang dinafikan oleh presiden itu sebelum ini, termasuk pertemuan pada Ogos di mana Trump membuat tawaran secara langsung.

Trump menyatakan beliau tidak akan memberikan apa-apa kepada mereka sehingga semua bahan penyiasatan Rusia yang berkaitan dengan Hillary Clinton dan Biden diserahkan, tulis Bolton.

Presiden Trump dalam temubual terbaru bersama Fox News hari ini, menolak dakwaan bekas penasihat itu dengan menyatakan buku yang ditulis itu hanya dipenuhi pembohongan dan cerita palsu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat