UK Bakal Lancar Program Rangsangan £2 bilion Untuk Golongan Belia

234

Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak akan melancarkan program bernilai £ 2 bilion untuk mencegah peningkatan pengangguran di kalangan golongan belia yang terkesan oleh krisis pandemik coronavirus.

Program itu dibuat bertujuan untuk merangsang ekonomi dengan membantu penciptaan pekerjaan, di mana ia merangkumi rancangan untuk membayar penempatan pekerjaan selama enam bulan kepada golongan belia.

Rishi Sunak dijangka akan mengemukakan langkah-langkah tersebut di hadapan parlimen pada hari ini.

Program yang dinamakan ‘kickstart scheme’ itu diharapkan dapat mewujudkan beratus ribu pekerjaan kepada golongan belia berumur 16 hingga 24 tahun yang mempunyai risiko tinggi untuk berdepan dengan pengangguran jangka panjang setelah berakhirnya program pengekalan pekerjaan pada bulan Oktober.

Pembiayaan kerajaan akan merangkumi 100% daripada upah minimum untuk 25 jam seminggu melibatkan warga belia Britain di seluruh negara, dengan pihak majikan juga akan menambah pembayaran gaji. Dengan langkah ini, kira-kira 300,000 orang akan menerima manfaat.

Antara langkah rangsangan bagi sektor pekerjaan yang telah diumumkan adalah skim yang bernilai £ 111 juta kepada syarikat di England untuk menerima bonus £ 1,000 sekiranya mereka menawarkan program latihan yang tidak berbayar.

Dalam pada itu, Rishi Sunak juga dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan value-added tax (VAT) atau mengagihkan baucer bagi membantu meningkatkan perbelanjaan di pub, restoran atau firma perhotelan lain yang melibatkan 2.4 juta pekerja.

Selain itu, beliau dijangka akan mengumumkan pengurangan cukai pembelian hartanah yang akan membantu pemulihan dalam pasaran perumahan dan ekonomi secara meluas.

Anda mungkin juga berminat