Memasuki sesi pasaran Eropah, dolar greenback kembali memadamkan kerugian yang dicatatkan ketika sesi Asia dengan didagangkan positif pada 93.11 berbanding sekumpulan matawang utama.
Kebimbangan terhadap lonjakan kes baru Covid-19 di Eropah dan Amerika Syarikat serta ketidakpastian mengenai pakej rangsangan fiskal dan pilihan raya presiden AS terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi sentimen pasaran.
Matawang euro terus bergelut untuk mempertahankan kedudukan daripada jatuh lebih rendah berikutan tekanan daripada kebimbangan terhadap lonjakan kes coronavirus di Eropah.
Canselor Jerman, Angela Merkel dikatakan sedang mempertimbangkan sekatan ringan di negara itu setelah mengatakan negara itu akan berdepan dengan bulan-bulan yang sukar pada masa akan datang.
Perancis, Sepanyol, Belgium dan Belanda kini sedang bergelut dengan impak gelombang kedua Covid-19, dan ini pastinya akan meningkatkan tekanan ke atas Bank Pusat Eropah (ECB) menjelang mesyuarat polisi pada Khamis ini.
Sementara itu, matawang pound sterling juga cuba bertahan dari susut lebih rendah berbanding USD di tengah-tengah ketiadaan perkembangan terbaru mengenai rundingan perdagangan Brexit untuk memacu pergerakan harga.
Bagi matawang Asia pula, dolar Aussie dan dolar kiwi masing-masing diniagakan negatif ketika US dolar terus cuba memadamkan kerugian yang dicatatkan pada sesi sebelum ini.
Pergerakan di pasaran matawang dilihat perlahan mungkin disebabkan oleh para pelabur yang mengambil sikap berhati-hati menjelang pilihan raya presiden AS pada minggu depan.