US dolar meneruskan momentum kenaikan hari ini yang dapat dilihat dalam indeks US dolar. Indeks yang mengukur kekuatan matawang US dolar berbanding enam matawang utama yang lain ini hampir mencapai paras tertinggi yang direkodkan dua bulan lalu.
Penguatan US dolar dilihat jelas dalam dagangan Usd/Jpy sejak awal minggu ini dan telah merekodkan kenaikan hampir 300 pip sejak Selasa. Yang terbaru Usd/Jpy telah berjaya menembusi ‘resistance‘ di paras 113.78 dan kini sedang didagang di sekitar 114.30 semasa artikel ini ditulis.
US dolar telah menguat untuk hari kelima berturut-turut jika dilihat dalam indeks US dolar. Penguatan ini banyak disokong oleh komen-komen dari ahli-ahli The Federal Reserve. Selepas komen Kaplan awal minggu ini, kini Lael Brainard pula memberi isyarat kenaikan kadar dalam masa terdekat.
Untuk pengetahuan pembaca, FOMC (Federal Open Market Committee) akan menetapkan kadar US pada 15 Mac ini.
Sebelum ini ahli The Fed, William Dudley juga mengatakan kadar akan dinaikkan dalam masa terdekat dan beliau menjangka akan mengurangkan akomodasi dalam polisi semasa. Seorang lagi ahli memberi komen ‘hawkish‘ iaitu John Williams di mana beliau berkata, “Kenaikan kadar akan dipertimbangkan secara serius pada mesyuarat Mac ini”.
Ketika ini data dari CME Group juga menunjukkan potensi kenaikan kadar pada Mac ini berada di sekitar 66.4% yang naik dari 35.4% sebelum ini.
Komen-komen dari ahli-ahli The Fed ini telah diterjemahkan ke dalam pasaran di mana kenaikan kadar telah diserap oleh pasaran dengan penguatan US dolar, walaupun belum sampai ke tahap 100%. Ingat pasaran bergerak disebabkan sentimen dan juga jangkaan pasaran walaupun peristiwa itu belum lagi berlaku.