Aussie Dollar berada dalam dagangan bercampur-campur Rabu semalam, dengan pergerakan sekitar 105 pips dari paras tertinggi harian sekitar $0.7280 ke serendah $0.7175, sebelum menutup sekitar paras $0.7225 yang lebih tinggi dari pembukaan sekitar $0.7190; setelah pasaran memberikan reaksi kepada kenyataan Gabenor RBA Glenn Stevens, dalam temubual bersama Asian Financial Review, yang begitu optimistik terhadap ekonomi Australia dan menekankan ketidakperluan untuk menurunkan kadar Australia.
Walau bagaimanapun, ramai penganalisa berpendapat terma perdagangan Australia ketika ini, masih tidak cukup kuat untuk menampung kelembapan ekonomi China yang merupakan rakan dagang terbesar Australia. Pada masa yang sama, kadar pembangunan industri perkhidmatan juga masih perlahan dan rapuh dalam mengimbangi penguncupan dalam sektor perlombongan, yang merupakan nadi ekonomi Australia untuk berdekad lamanya.
[adrotate group=”6″]
“Paras yang lebih tinggi baru-baru ini yang dilihat dalam AUD/USD, adalah kesan daripada kejatuhan volatiliti sejak September dan kurangnya sentimen penurunan kadar dari RBA, ekoran aliran data yang masuk mendedahkan pemulihan dalam sektor bukan perlombongan. Namun kejatuhan mendadak dalam terma perdagangan Australia dalam suku keempat, sehingga kini adalah selaras dengan nilai Aussie yang sepatutnya lebih rendah”, menurut penganalisis National Australia Bank.