Euro Dollar terus merudum lebih 110 mata sepanjang 3 sesi dagangan Selasa semalam, dari paras tertinggi harian sekitar 1.0980 hingga mencapai paras terendah sekitar 1.0865 sebelum menutup sekitar paras 1.0875; setelah matawang Euro-Zone menerima tekanan serampang dua mata – krisis Grexit dan data ekonomi Amerika Syarikat yang dilaporkan kukuh, menyebabkan kadar tukaran EUR|USD jatuh 0.7% ketika pasaran New York dibuka.
Pasaran dilihat sedang membina momentum untuk menguji lagi paras terendah tahunan sekitar 1.05. Euro telah turun hampir -10% tahun ini dan -20% dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Pulangan Bon 2 tahun Greece telah meningkat lagi sebanyak 1.3 mata asas kepada 23.9% di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap Grexit.
Pegawai Greek terus mengambil pendirian keras, sekaligus menambahkan keraguan sama ada mereka akan mempunyai dana yang cukup untuk memenuhi obligasi hutangnya kepada IMF bulan depan sebanyak €1.6 bilion. Apa yang membuat keadaan lebih buruk adalah pertelagahan dalaman dalam kerajaan Greece terhadap terma dan syarat pemiutang. Beberapa pegawai sanggup menerima syarat-syarat tertentu manakala yang lain tidak.
Di Sepanyol, harga bon mendedahkan perkara yang sama. Bonos (bon Sepanyol) menghadapi tekanan lagi dari keputusan pilihan raya hujung minggu lalu, yang menunjukkan Parti pemerintah Popular kalah besar dalam pilihan raya perbandaran kepada Podemos Parti yang anti-penjimatan. Ini mendorong pegawai dan pembuat dasar ECB untuk terus mengambil pendirian tegas ke atas Greece – mereka tidak mahu bersetuju dengan tuntutan Athens, atau menjadikan contoh dimana anti-penjimatan adalah satu jalan penyelesaian.