Bekas senator AS dari Kansas iaitu Bob Dole yang juga calon Presiden Republik pada tahun 1996 ini nampaknya telah bekerja keras untuk ‘menyatukan’ pemimpin dari Taiwan beserta barisan kepimpinan baru Trump.
Menurut New York Times pada Selasa, selain panggilan telefon bersama Presiden Taiwan Tsai Ing-wen sebelum ini, Dole sememangnya telah bekerjasama dengan kerajaan berkenaan untuk mewujudkan hubungan baik antara Taiwan dengan pentadbiran AS yang baru tersebut.
Memetik laporan The Times, Firma Undang-Undang Washington kepunyaan Dole iaitu Alston & Bird telah dibayar kira-kira $140,000 antara Mei dan Oktober terhadap usaha-usaha beliau tersebut.
Panggilan telefon antara Amerika Syarikat dan Taiwan pada minggu lalu telah dikritik hebat memandangkan AS telah mengelak dari menjalinkan hubungan diplomatik dengan Taiwan hampir 4 dekad yang lalu. Amerika Syarikat telah menggantung hubungan rasmi dengan negara tersebut semenjak tahun 1979 lagi dengan menganggap bahawa Taiwan adalah sebahagian dari China.
Menurut The Times lagi, Dole memberitahu bahawa Taiwan dilihat berminat untuk mendekati kerajaan pimpinan Trump.
Dalam akhbar tersebut juga ada menyebut tentang terma perkongsian Dole dengan kedutaan tidak rasmi Taiwan di Amerika Syarikat dengan bayaran sebanyak $25,000 sebulan.
Berikut adalah beberapa syarat-syarat perjanjian :
- Membantu Taiwan untuk turut serta dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
- Mengatur pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kongres
Dole jelas menggunakan pengaruhnya dalam cubaan untuk memujuk pentadbiran Trump. Disamping itu, Dole juga mengatakan bahawa, “Apabila pihak yang anda wakili meminta sebarang perkara, anda harus bertindak balas terhadap perkara tersebut.”