Euro Dollar melonjak lebih 65 pips Khamis semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1.1215 sebelum susut semula untuk menutup lebih rendah sekitar paras $1.1192; setelah Dollar AS melemah terkesan dari kegiatan mengambil untung belian. Pada masa yang sama, para trader mula bersedia menjelang ucapan Pengerusi Feds Janey Yellen pada awal pagi Sabtu, atau petang New York, untuk mendapatkan petunjuk selanjutnya tentang kadar AS.
Ahli-ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) terus mengambil pandangan yang agresif pada dasar monetari minggu ini, dengan pembuat dasar menyatakan pendapat bahawa kadar pinjaman akan meningkat dua atau tiga kali sebelum akhir tahun. Walaupun terdapat keraguan untuk Fed menaikkan kadar pada bulan Jun, pasaran menambah kemungkinan yang lebih tinggi, sekaligus meningkatkan permintaan untuk Dollar AS.
Walau bagaimanapun, permintaan untuk ‘Greenback’ telah disenyapkan pada Rabu lalu, ekoran angka PMI komposit dan perkhidmatan yang lebih lemah daripada jangkaan. Ini menunjukkan bahawa ekonomi terbesar di dunia itu tidak berada dalam keadaan yang lebih teguh untuk memerlukan pengetatan kewangan, sekaligus mengurangkan kemungkinan kenaikan kadar pada Jun ekoran keputusan Feds yang bergantung kepada data.
Permintaan ‘safe-haven’ Dollar AS juga lebih rendah semalam selepas minyak gred Brent kembali ke atas paras psikologi penting $50 setong, yang membawa kepada peningkatan dalam selera untuk risiko. Ini menyaksikan Dollar AS mula melemah terhadap matawang utama, dengan kemungkinan bertambah lemah sekiranya data GDP malam ini mengecewakan.