Pound Dollar berada dalam dagangan bercampur-campur Jumaat lalu, naik turun dari paras terendah harian sekitar $1.4575 ke setinggi $1.4670, sebelum menutup sekitar paras $1.4610; setelah pasaran dipenuhi kegiatan mengambil untung belian sejak kenaikan pada awal bulan Mac lalu. Pada masa yang sama, laporan ekonomi AS yang lemah, juga telah menyebabkan Dollar kehilangan sokongan belian. Sentimen ‘Brexit’ yang kembali positif terus membantu mengapungkan Pound.
Di pasaran UK, pasaran terus memberikan perhatian kepada ahli majlis MPC Bank of England, Encik Cunliffe yang menekankan tentang krisis ekonomi yang mungkin dihadapi UK sekiranya ia keluar dari blok ekonomi Euro-Zone. Laporan GDP UK yang lemah, pertumbuhan sekitar 0.4% yang semakin perlahan selepas 0.6% pada suku terakhir tahun lepas, telah mengukuhkan hujah beliau untuk UK terus kekal berada dalam EU.
UK yang mengeksport lebih 30% daripada keluaran dalam negaranya kepada negara-negara Eropah dalam blok ekonomi Euro-Zone, boleh kehilangan kelebihan tersebut sekiranya ia keluar dari EU. Dalam apa yang dilihat sebagai kerjasama antara UK dan AS, Presiden Obama telah menghabiskan masa hujung minggu baru-baru ini, untuk mempengaruhi keputusan referendum ‘Brexit’ pada 23 Jun ini.
Referendum ‘Brexit’ telah menjadi pemandu utama dalam arah Pound sejak awal Januari lalu dan agensi OECD dalam kenyataan terbarunya Jumaat lalu, telah mengatakan bahawa UK bakal berdepan dengan kejutan besar sekiranya meninggalkan Euro-Zone. Malam ini AS bakal melaporkan PMI pembuatan yang dijangka susut dari 51.8 mata kepada 51.6 mata. Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari UK hari ini.