Pound Dollar melonjak lebih 110 pips Isnin semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1.4696 sebelum menutup sekitar paras $1.4672; setelah Dollar kehilangan momentum belian terkesan dari laporan ekonomi yang mengecewakan minggu lepas, sekaligus memadamkan spekulasi kenaikan kadar pada mesyuarat FOMC Jun ini. Pada masa yang sama, kenaikan Pound dikekang oleh keputusan undian terbaru YouGov.
Di pasaran UK, agensi undian YouGov melaporkan dalam bancian terbaru bahawa kempen ‘keluar’ dari EU telah kembali merapati kempen ‘kekal’ yang mendahului sebelum ini, selepas mendapat sokongan dan campur tangan dari Presiden Amerika Syarikat. Dalam satu undian lain dikalangan agensi peramal seperti BetFair, ia menunjukkan kempen ‘kekal’ terus mendapat tempat pertama, dengan undian ‘keluar’ hanya sekitar 30% sahaja.
“Dengan 8 minggu lagi, momentum kini seolah-olah menjadi dengan kempen ‘Kekal’,” menurut strategis matawang Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ, Derek Halpenny. “Setakat ini ia telah menjadi susut nilai yang agak teratur. Terdapat juga peluang bahawa pelabur akan menjadi gementar menjelang undian sebenar.” tambah beliau lagi. Pound terus disokong oleh undian pendapat menunjukkan bahawa kempen ‘Kekal’ mula mendahului.
Dalam pada itu, perangkaan kerajaan UK semalam mendedahkan bahawa kadar pengembangan bekalan wang Britain mula perlahan pada bulan lepas; dan dilihat sukar untuk membantu Pound dalam jangka masa pendek. Dollar AS terus menunjukkan prestasi lemah dalam pasaran matawang global berikutan data GDP yang mengecewakan. Pasaran niaga hadapan kini memfaktorkan peluang besar bahawa kadar utama AS masih pada 0.5% pada akhir tahun ini, dengan angka terbaru membayangkan 32.5% kemungkinan ini.