Harga emas terus memacu naik untuk hari kelima berturut-turut Jumaat lalu, lebih $31/oz untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,296.66/oz sebelum menutup sekitar paras $1,294.60/oz; setelah Dollar kehilangan sokongan belian dengan laporan ekonomi yang terus-menerus mengecewakan. Pada masa yang sama, sentimen pasaran yang kembali dalam mood berhati-hati, dengan kejatuhan pasaran ekuiti, terus menyebabkan emas mendapat permintaan.
Indeks Dow Jones yang mengukur saham-saham mewah Amerika Syarikat, susut lebih 230 mata untuk ke paras terendah harian sekitar 17,796 mata, sebelum menutup sekitar paras 17,830 mata Jumaat lalu, sehari selepas laporan pertumbuhan ekonomi AS keluar mengecewakan. Ekonomi AS yang dilaporkan jatuh dari 1.4% kepada 0.5%, telah mengecewakan pasaran yang hanya menjangka kejatuhan kepada 0.7%.
Spekulasi kenaikan kadar AS pada Jun ini, telah hilang kepercayaan dari pelabur setelah angka perbelanjaan dan sentimen pengguna juga mengecewakan. Sentimen pengguna AS turun dari 89.7 mata kepada 89 mata berbanding jangkaan kenaikan kepada 90.3 mata. Perbelanjaan bulanan juga dilaporkan merosot kepada 0.1% berbanding jangkaan stabil pada 0.2%. Malam ini AS bakal melaporkan PMI pembuatan yang dijangka susut dari 51.8 mata kepada 51.6 mata dan laporan NFP Jumaat ini juga dijangka akan menawarkan hala tuju Dollar AS selanjutnya.