Harga minyak pada Jumaat kekal sekitar paras terendah sejak April. Pertumbuhan ekonomi yang perlahan dilihat sebagai ancaman utama, serta bakal memburukkan lagi masalah lebihan bekalan.
Brent mentah antarabangsa bagi niaga hadapan didagang pada $ 42.78. WTI mentah pula meningkat 2 sen kepada $ 41.16.
Brent mencecah angka paling rendah sejak April pada sesi sebelum ini, manakala WTI mencapai paras terburuk iaitu pada $ 40.95 setong pada hari Jumaat. Kedua-dua penanda aras ini jatuh sekitar 20% sejak harga tertinggi pada bulan Jun.
Oleh kerana masalah lebihan bekalan masih berterusan, Bank Goldman Sachs Amerika Syarikat berkata minggu ini, mereka tidak menjangkakan pemulihan harga yang besar dalam masa terdekat.
“Kami terus menjangkakan bahawa harga minyak akan kekal pada harga $45 setong kepada $50 setong sehingga pertengahan tahun 2017,” ujar bank terbabit.
Walaupun begitu, beberapa penganalisa berkata, kejatuhan harga dalam pasaran minyak mentah baru-baru ini tidak membimbangkan. Hal ini berikutan permintaan masih kekal kukuh walaupun terdapat kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Pandangan pelabur yang terlalu bimbang terhadap pasaran minyak Amerika Syarikat dan inventori petrol semakin meningkat. Kami rasa kebimbangan ini adalah tidak wajar. Permintaan di Amerika Syarikat masih kekal kukuh,” kata bank ANZ.