Harga minyak melonjak tinggi Rabu semalam, selepas Dollar AS jatuh apabila FOMC Feds AS memutuskan untuk mengurangkan jumlah jangkaan kenaikan kadar dan mengekalkan kadar pinjaman antara bank. Keputusan tersebut disambut baik oleh keseluruhan pasaran dengan komoditi tenaga mencatatkan kenaikan terbanyak pada lebih 2.3% di pasaran hadapan.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran April melonjak semula lebih $2.30 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $38.95 sebelum menutup sekitar paras $38.85 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Mei melonjak semula lebih $1.55 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $40.40 sebelum menutup sekitar paras $40.20 setong.
[adrotate group=”6″]
Di pasaran AS semalam, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS melaporkan bahawa inventori minyak AS menambah sebanyak 1.3 juta tong berbanding jangkaan penambahan sebanyak 2.9 juta tong. Angka tersebut lebih rendah dari penambahan sebelum ini sebanyak 3.9 juta tong. Pada masa yang sama, negara pengeluar minyak OPEC diberitakan bersetuju untuk berunding bulan depan di Doha, Qatar untuk menghadkan pengeluaran pada kadar semasa.
Menteri minyak Qatar, Mohammed Bin Saleh Al-Sada mengatakan inisiatif tersebut disokong oleh lebih 15 anggota OPEC dan bukan OPEC, yang mewakili sekitar 73% produksi minyak dunia. Rundingan tersebut akan dilansungkan walaupun tanpa Iran yang tidak bersedia untuk menghadkan pengeluarannya buat masa ini.