Sebentar tadi Pejabat Statistik Kebangsaan UK mengeluarkan laporan pertumbuhan KDNK (GDP) UK yang mencatatkan bacaan 0.5% pada suku ketiga. Bacaan ini sama dengan bacaan pada suku kedua dan jangkaan penganalisis pada kadar 0.5%.
Laporan pertumbuhan ini pada suku ketiga ini adalah selepas undian referendum EU. Sejak pengundian itu, pertumbuhan KDNK UK tidak banyak berubah dari laporan suku kedua. Hal ini menunjukkan kesan terhad undian referendum itu kepada ekonomi UK.
Berbanding dengan laporan suku ketiga 2015, pertumbuhan kali ini meningkat sebanyak 2.3%. Manakala KDNK-perkapita meningkat sebanyak 0.3% berbanding suku kedua.
Terdapat pertumbuhan yang signifikan dalam sektor perkhidmatan pada suku ketiga iaitu 0.8%, tetapi berlaku penurunan dalam semua dalam sektor-sektor yang lain dengan penyusutan 0.5% dalam pengeluaran.
Perdagangan bersih (net-trade) menyumbangkan 0.5% pertumbuhan ekonomi suku ketiga dengan peningkatan perbelanjaan isirumah sebanyak 0.7%.
Manakala pelaburan perniagaan meningkat 0.9% lebih tinggi daripada jangkaan 0.6% walaupun berlaku penurunan 1.6% dalam bacaan tahunan.
Pelaburan akan menjadi fokus utama UK dalam beberapa bulan akan datang. Pun begitu, Brexit masih menjadi tumpuan kerana ketaktentuan yang boleh melemahkan perbelanjaan modal dan pelaburan di UK.
Sejurus sahaja laporan KDNK ini dikeluarkan, Gbp/Usd menguat sebanyak 22 pip dari 1.2450 ke 1.2472 dalam 30 minit pertama. Manakala Indeks FTSE berubah sedikit sejurus data dikeluarkan.