Dollar Yen melonjak lebih 110 pips sepanjang sesi Asia dan pagi Eropah Khamis semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar ¥109.38, sebelum menyusut semula pada sesi New York untuk menutup lebih rendah, sekitar paras ¥108.97; setelah para pelabur mengurangkan belian ke atas Yen, terkesan dari beberapa siri amaran daripada Menteri Kewangan Jepun, Tuan Taro Aso bahawa kerajaan akan campur tangan untuk membendung sebarang pergerakan yang berat sebelah.
Dalam pada itu semalam, Gabenor Bank of Japan Tuan Haruhiko Kuroda berkata, ia akan menjadi sukar bagi Kementerian Kewangan Jepun untuk sengaja melemahkan Yen dengan tujuan untuk meningkatkan eksport, sambil menambah bahawa perubahan besar dan perubahan pesat dalam pasaran matawang yang tidak mencerminkan asas-asas ekonomi adalah sesuatu yang tidak diingini.
Minggu ini menunjukkan bahawa Jepun akan berhati-hati dengan campur tangan sebelum ia menjadi tuan rumah mesyuarat G7 pada bulan ini, walaupun Tokyo jelas tidak berpuas hati dengan kenaikan Yen yang mencapai hampir 11% sejak Disember. Dollar telah mencapai paras terendah 18 bulan sebanyak ¥105.55 pada 3 Mei lalu, selepas Bank of Japan bertindak diluar jangkaan pasaran dengan tidak memperluaskan rangsangan monetari pada mesyuarat dasar pada akhir April lalu.
Amerika Syarikat bakal melaporkan tiga data ekonomi utama hari ini, dengan jualan runcit yang dijangka tidak berubah pada -0.3%, harga pengeluar yang dijangka meningkat dari -0.1% kepada 0.3% dan sentimen pengguna yang bertambah baik dari 89.0 mata kepada 89.9 mata. Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari Jepun hari ini.