Harga minyak mentah dunia menyusut dalam sesi awal dagangan Isnin berikutan peningkatan aktiviti cari gali di Amerika Syarikat yang mengekalkan potensi lambakan bekalan minyak mentah global dalam beberapa bulan akan datang.
Isyarat permintaan yang semakin lemah turut melemahkan sentimen pasaran ini yang menyebabkan harga jatuh ke paras berhampiran semasa pengumuman pemotongan bekalan tahun lepas.
Minyak Brent ketika ini didagang di sekitar $47.72 setong setakat pukul 5.50 petang, manakala minyak WTI (West Texas Intermediate) berada di sekitar $45.22 setong.
Harga bagi kedua-dua jenis minyak ini jatuh 14 peratus sejak lewat Mei, apabila pengeluar yang diketuai oleh OPEC melanjutkan pemotongan bekalan sehingga sembilan bulan dengan jumlah 1.8 juta tong sehari.
Penganalisis mengatakan peningkatan bekalan dari US, dengan Libya dan Nigeria mengimbangi usaha yang dijalankan oleh OPEC.
“Sesiapa yang mahu menentukan harga terendah yang akan dicapai oleh harga minyak mentah, perlu memberi perhatian kepada faktor sebelah penawaran yang menyebabkan harga jatuh sejak lewat Mei,” kata penganalisis di PMV Tamas Varga.
Data Jumaat lalu menunjukkan penambahan pelantar kepada rekod 22 minggu berturut-turut yang membawa jumlah kepada 747 pelantar.
Menteri minyak Arab Saudi Khalid Al-Falih berkata pasaran minyak mentah memerlukan masa untuk mengimbangi harga semasa.