Dalam satu laporan yang disiarkan pada Rabu, satu majlis penasihat yang menasihati Kementerian Ekonomi Jerman telah mengenal pasti risiko sekiranya Kementerian Kewangan Eropah kekal meletakkan kadar faedah pada paras sifar peratus.
Menurut Reuters, pakar-pakar ekonomi tersebut menulis dalam satu laporan bahawa dasar monetari yang sedang diguna pakai oleh Bank Pusat Eropah sejak tahun 2014 itu tidak setimpal dengan risiko yang bakal dihadapi.
Dasar semasa itu bertujuan untuk merangsang pinjaman dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, namun mengabaikan beban yang terhasil terhadap sektor kewangan.
Sifar kadar faedah mampu mendatangkan pelbagai masalah termasuklah menjejaskan margin keuntungan dan risiko ketiadaan pembaharuan bagi sektor kewangan.
Menurut laporan itu lagi, semakin lama kadar dikekalkan pada tahap sifar peratus, semakin besar risiko yang bakal dihadapi oleh sektor kewangan.
Pegawai-pegawai dari Jerman itu telah lama mengkritik tindakan ECB kerana meletakkan kadar pada tahap yang rendah walaupun pertumbuhan dan inflasi telah mula berkembang di dalam Zon Euro.
Menurut laporan tersebut, banyak institusi kewangan termasuk syarikat insurans telah menghadapi masalah untuk menjana apa-apa keuntungan dan mendapatkan semula kos memandangkan kadar yang amat rendah.
Bagaimanapun majlis penasihat ini hanya bertindak untuk mengeluarkan pendapat dan terpulang kepada ECB sama ada ingin mengambil tindakan yang selanjutnya atau tidak.
Proses Rundingan Brexit : Ini Jawapan Balas Hammond Terhadap Gesaan Parlimen Sebelum Ini