Presiden Fed St. Louis, James Bullard memberi kenyataan semalam dengan mengatakan bahawa kadar faedah boleh kekal pada tahap yang rendah sepanjang tahun 2017 tanpa butiran jelas mengenai dasar Trump. Dasar Trump sebelum ini dikatakan bakal mencetuskan inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.
Bullard turut berpendapat bahawa Fed akan menaikkan kadar hanya sekali pada tahun ini dan kadar tidak mungkin akan dinaikkan dalam mesyuarat Mac ini.
Hal ini kerana Fed masih tidak mempunyai maklumat yang cukup tentang perbelanjaan dan perlaksanaan cukai. Beliau juga berpendapat bahawa adalah mustahil segala ketidakpastian ini akan dapat dirungkai ketika mesyuarat Mac.
Fed juga sedang memerhatikan tentang bagaimana dasar pentadbiran Trump mampu mengubah unjuran ekonomi Amerika Syarikat sehingga mendesak Fed untuk menaikkan kadar dengan lebih tinggi.
Bullard sejak tahun lepas telah berhujah bahawa ekonomi AS masih terperangkap dalam jajaran pertumbuhan dan inflasi yang rendah sehingga menyebabkan Fed tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menaikkan kadar.