Indeks keyakinan pengguna US yang dikeluarkan oleh The Conference Board susut kepada 120.3 pada April dari 124.9 yang direkod pada Mac. Bacaan pada Mac telah dikaji semula dari 125.6.
Jangkaan bagi data kali ini ialah 123.7 lebih tinggi daripada data sebenar yang dikeluarkan.
Tinjauan keyakinan pengguna ini yang dikeluarkan setiap bulan dibuat oleh Conference Board, satu organisasi terkemuka global dalam menyediakan maklumat pengguna.
Dalam komponen situasi semasa, indeks susut kepada 140.6 dari 143.9 sebelum ini di mana komponen jangkaan jatuh kepada 106.7 dari 112.3.
Dalam indeks pasaran pekerjaan juga lemah sedikit dengan kadar responden yang menyatakan jumlah pekerjaan banyak dalam pasaran, merosot kepada 30.8% dari 31.8% sebelum ini.
Tinjauan juga menunjukkan pengguna kurang yakin dengan jangkaan pendapatan mereka.
Petunjuk indeks keyakinan pengguna berada dalam trend menaik sejak Trump dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat walaupun data perbelanjaan pengguna masih belum kukuh dengan jualan runcit merekod kejatuhan pada Februari dan Mac.
Kelemahan dalam perbelanjaan menggambarkan hubungan antara keyakinan pengguna dan perbelanjaan tidaklah begitu kuat. Dalam konteks ini, perbelanjaan penggunaan peribadi akan terus diperhatikan secara teliti pada Jumaat dalam data pertumbuhan ekonomi suku pertama US.