Harga minyak mentah global bergerak lebih rendah dalam sesi Eropah pada Rabu di mana pelabur sedang menunggu data inventori US yang akan dikeluarkan malam ini.
Minyak WTI (West Texas Intermediate) untuk kontrak Julai didagang di sekitar $47.89 setong pukul 4.20 pm, jatuh 20 sen dari paras tertinggi Selasa.
Brent-oil pula yang didagang di ICE Future Exchange jatuh hampi 50 sen kepada $49.90 setong dari $50.36 setong.
Harga minyak ditutup lebih tinggi buat pertama kali sejak tiga sesi dagangan lepas pada Selasa berikutan ketegangan di Timur Tengah. Selain itu, kenaikan pada sesi Selasa juga dipercayai oleh kejatuhan inventori 4.62 juta tong pada minggu berakhir 2 Jun di US.
Malam ini satu lagi data inventori minyak US akan dikeluarkan pukul 10.30 malam. Pengalisis menjangka inventori akan merosot 3.1 juta tong.
Ketika ini, pasaran masih lagi terkesan daripada ketegangan yang berlaku Timur Tengah antara Qatar dengan negara seperti Arab Saudi. Pasaran dilihat bimbang jika perkembangan geopolitik ini akan mengganggu perjanjian pemotongan bekalan minyak oleh OPEC.
Bulan lalu, negara pengeluar OPEC dan beberapa negara bukan-OPEC bersetuju untuk melanjutkan pemotongan bekalan sehingga 1.8 juta tong sehari sehingga Mac 2018.