US dolar terus mengukuh dalam sesi Asia berbanding matawang-matawang utama dunia menjelang pembukaan pasaran Eropah. Yen adalah antara matawang paling banyak mengalami kerugian berbanding greenback dan Yen (Usd/Jpy) telah melemah empat minggu berturut-turut sehingga 7 Julai.
Yen ketika ini didagang di sekitar 114.41 berbanding US dolar setakat pukul 2.17 pm dengan kelemahan data tempahan mesin dan juga data akaun semasa.
Indeks US dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang lain naik 0.18% dan ketika ini berada di sekitar 96.19 setakat 2.21 pm.
US dolar mengukuh berbanding matawang-matawang utama kecuali Loonie apabila data pekerjaan NFP merekod tambahan melebihi jangkaan pasaran. Hal ini dilihat menyokong perancangan normalisasi polisi oleh The Fed dengan pasaran pekerjaan yang semakin ketat dijangka akan menolak inflasi lebih tinggi beberapa bulan akan datang.
Para pelabur ketika ini akan memberi perhatian kepada pengerusi Fed Janet Yellen yang akan memberi keterangan di hadapan Kongres pada Rabu dan Khamis. Selain itu, data perdagangan China juga akan dikeluarkan pada Khamis dan pasaran akan meneliti sama ada enjin pertumbuhan ekonomi dunia ini semakin baik atau sebaliknya.
Usd/Cad dan Gbp/Usd setakat pukul 2.27 pm hampir tidak berubah dengan kedua-dua pasangan matawang berada di sekitar paras penutup Isnin.