US dolar mencapai paras tertinggi empat bulan lalu berbanding Yen pada Selasa di mana pasaran masih menunggu komen yang akan dibuat oleh Yellen di Kongres pada Rabu dan Khamis.
Selain daripada Yen yang melemah berterusan, Kiwi juga jatuh mendadak apabila terdapat laporan gempa bumi di New Zealand.
Usd/Jpy setakat pukul 7.52 pm telah naik 0.24% dan ketika ini berada di sekitar 114.31 selepas mencapai paras tertinggi 114.48 pada awalnya.
Para pelabur dilihat mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang perancangan bank pusat US dalam normalisasi polisi walaupun berhadapan dengan data-data inflasi yang lemah sejak akhir-akhir ini.
The Fed telah menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat Jun yang merupakan kenaikan kedua tahun ini. Walaupun data-data terbaru sedikit lemah, tetapi Federal Reserve berulang kali menyatakan ia hanyalah sementara dan menjangka inflasi akan meningkat dalam juangka masa sederhana.
Yen masih lagi terkesan daripada komen Gabenor Haruhiko Kuroda yang menegaskan bank pusat akan mengekalkan program rangsangan sehingga sasaran inflasi 2% dapat dicapai. Komen terbaru oleh Kuroda mengesahkan perbezaan polisi antara BoJ dengan The Fed di mana Kuroda masih cenderung kepada pelonggaran.
Indeks US dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang yang lain berada di sekitar 95.87 hanya naik 0.06% setakat pukul 8.00 pm.
Kiwi pula melemah dengan Nzd/Usd melemah sehingga 0.76% selepas laporan gempa bumi yang melanda New Zealand, tetapi tiada kerosakan dilaporkan.