Minit mesyuarat ECB yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan terdapatnya kebimbangan terhadap potensi untuk pasaran mencapai lebih daripada yang disasarkan bank pusat (market overshooting), terutamanya dalam pasaran matawang.
Minit kali ini juga menyatakan bahawa inflasi ketika ini sedikit di bawah jangkaan yang disebabkan oleh impak harga minyak dan kadar tukaran matawang.
Namun begitu, ECB dilihat memberi komen yang positif terhadap pertumbuhan dan yakin inflasi akan menuju ke paras sasaran secara beransur-ansur. Inflasi teras (core-inflation) telah menunjukkan isyarat kenaikan tetapi masih memerlukan lebih banyak bukti untuk menentukan sama ada ia dalam trend yang menaik.
Terdapat juga ahli ECB yang berpendapat lebih hawkish di mana beliau menyatakan pemulihan ekonomi ketika ini boleh bergerak dengan sendirinya (self-sustaining) dan perlunya mempertimbangkan perubahan dalam komunikasi ECB selepas ini.
Retorik secara keseluruhan terus menunjukkan bahawa ECB akan berhati-hati dalam mengetatkan polisinya walaupun dengan keyakinan terhadap pertumbuhan di masa akan datang.
Matawang Euro jatuh selepas data ini dikeluarkan pukul 7.30 malam tadi dengan spekulasi bahawa ECB berkemungkinan membuat campur-tangan pasaran (intervention) untuk melemahkan euro.