Matawang GBP kini tertekan berbanding matawang-matawang utama dunia yang lain pada Rabu. GBP/USD setakat pada pukul 4.39 petang jatuh 130 pip dari paras tertinggi. Pair yang lebih volatile GBP/JPY jatuh 150 pip.
Kejatuhan matawang GBP adalah disebabkan data inflasi UK yang dikeluarkan pada pukul 4.30 petang tadi. Bacaan tumpuan pasaran iaitu harga pengguna (CPI) jatuh kepada 2.5% yang meleset daripada jangkaan 2.7%.
Manakala bacaan teras harga pengguna (Core-CPI) yang tidak mengambil kira produk seperti makanan, tenaga, alkohol dan tembakau meningkat 2.3% bulan lalu berbanding jangkaan 2.5%.
Bacaan-bacaan inflasi yang lain turut meleset daripada jangkaan. Indeks harga runcit (RPI) juga hanya meningkat 3.3% secara tahunan pada Mac berbanding jangkaan 3.5%.
Kenapa GBP jatuh begitu banyak?
Pertama, bacaan inflasi adalah data tumpuan utama bank pusat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan polisi monetari. Kejatuhan inflasi sebenarnya mengurangkan potensi untuk bank pusat menaikkan kadar faedahnya di masa hadapan.
Kedua, kejatuhan inflasi pada Rabu mengesahkan tekanan lemah terhadap harga domestik di UK ketika ini, lebih-lebih lagi dengan data pendapatan yang dikeluarkan pada Selasa turut meleset daripada jangkaan pasaran.