Komen Trump bahawa peluru berpandu yang baru, baik dan pintar akan menuju ke Syria ternyata dikeluarkan sebelum beliau membincangkan perkara itu dengan pegawai-pegawai keselamatan White House dan negara-negara sekutunya.
Trump sememangnya telah biasa mengejutkan dunia dengan komen-komen aggresif beliau. Komen-komen beliau juga sering kali mengejutkan pasaran global terutamanya indeks saham global.
Trump mengatakan peluru berpandu akan datang ke Syria sebagai respon kepada amaran Rusia yang mahu menembak jatuh sebarang peluru berpandu yang ditujukan ke negara yang bergolak itu.
Seorang daripada ahli Senat AS, Bob Corker kelihatan marah dengan tindakan terbaru Trump itu. Corker bimbang jika ia benar-benar dilakukan seterusnya akan mengundang konflik yang lebih besar khususnya dengan Rusia.
Sentimen ketika ini sedikit reda khususnya dalam pasaran forex berikutan serangan Amerika Syarikat itu dijangka tidak akan berlaku pada hari ini.
Trump sebelum ini telah mendesak sekutu-sekutunya untuk melihat pilihan yang ada terhadap serangan ke Pangkalan Udara Al Shayrat, Syria sebagai respon kepada serangan senjata kimia di Khan Sheykun pada tahun lalu.
Serangan itu terbukti tidak berjaya menghentikan pemerintahan Syria. Selepas daripada itu, pesawat Syria dilihat mendarat di pangkalan udara tersebut tidak lama setelah serangan 59 peluru berpandu Tomahawk dari Amerika Syarikat berakhir.
Berkemungkinan respon dari Amerika Syarikat kali ini adalah lebih besar. Antara sekutu yang menyatakan sokongan kepada AS adalah Britain selepas Theresa May dilihat bertekad untuk menyertai Amerika sebagai respon kepada penggunaan senjata kimia oleh Assad.