Saham Asia sedikit pulih pada Jumaat selepas jatuh sembilan hari berturut-turut walaupun sentimen ketika ini masih lagi goyah dengan pasaran Wallstreet sekali lagi merekodkan kejatuhan besar pada Khamis.
Kebimbangan terhadap impak perang dagang AS-China, lonjakan oleh hasil-bon AS minggu ini dan tindakan berhati-hati pasaran terhadap musim pelaporan pendapatan syarikat adalah sebab kepada penjualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti. Ia sekaligus merekodkan kejatuhan terbesar dalam sehari sejak lapan bulan yang lalu.
Dalam masa yang sama, pasaran kekal goyah walaupun terdapat sedikit pemulihan dalam sesi pasaran Asia. Ini dapat dilihat kepada indeks volatility (VIX) yang mengira tahap ketakutan pasaran terhadap keadaan semasa. Setakat ini VIX naik ke paras 24.98 yang tertinggi sejak 12 Februari lepas.
Untuk pengetahuan anda, disebabkan VIX mengira tahap ketakutan pelabur, peningkatan pada indeks ini bermaksud berlakunya kejatuhan dalam pasaran saham.
“Masih terdapat risiko kepada pasaran berikutan ketegangan AS-China yang mampu memperlahankan pertumbuhan ekonomi global,” demikian kata Masahiro Ichikawa ketua penganalisis matawang di Sumitomo Mitsui Asset Management Tokyo.
Hari ini pasaran saham akan memberi tumpuan kepada pengumuman pendapatan daripada beberapa bank terbesar dunia. Antara yang akan mengumumkan pendapatan adalah JPMorgan Chase, Citygroup, dan Wells Fargo.