Sentimen berisiko adalah penggerak kepada harga dalam sesi dagangan Eropah yang membezakan pergerakan antara matawang safe-haven dan matawang berkadar faedah tinggi.
Matawang safe-haven JPY dan CHF mendapat permintaan tinggi dengan Yen menjadi matawang terkuat sejak sesi Asia. US dollar sebagai salah satu daripada aset safe haven juga mendapat manfaat daripada sentimen Risk-Off yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (Tariff 25% kepada $200 billion produk China).
Matawang berkadar faedah tinggi seperti AUD dan NZD seperti biasa tertekan dalam keadaan seperti ini. AUD dan NZD menjadi matawang yang paling banyak tertekan disebabkan China adalah destinasi eksport terbesar kedua-dua negara Australia dan New Zealand.
Indeks US dollar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang yang lain membuat kenaikan sehingga 0.40% setakat pada pukul 8.45 malam.
Major pair seperti EUR/USD setakat ini susut 0.33% di mana GBP/USD susut 0.62%. USD/JPY setakat ini pula jatuh 0.31%, USD/CAD naik 0.15% dengan USD/CHF membuat kenaikan 0.25%. Pair AUD/USD dan NZD/USD pula masing-masing merekodkan kejatuhan sebanyak 0.49% dan 0.52% setakat ini.
Matawang paling kuat setakat ini adalah Yen (JPY) dan matawang paling lemah adalah GBP. Dengan menggabungkan matawang paling kuat dan lemah, pasangan matawang GBP/JPY jatuh sehingga 0.92% setakat ini bersamaan dengan 134 pip.
GBP menjunam apabila sidang media Gabenor Bank of England (BOE), Mark Carney bermula pada pukul 7.30 petang walaupun pada mulanya melonjak 30 minit sebelum itu. Ahli BOE menaikkan kadar faedah dengan undian 9-0 . Secara keseluruhan, kenaikan kadar faedah BOE pada Khamis dinilai sebagai ‘hawkish hike’ tetapi masih menyebabkan GBP tertekan ketika ini.