Bank pusat Australia (RBA) mengekalkan kadar faedahnya di paras terendah 1.50% pada Selasa. RBA mengekalkan kadarnya seperti yang dijangka sejak ia diturunkan kepada 1.50% pada Ogos 2016.
Gabenor Philip Lowe mengatakan, “inflasi dijangka akan kekal di paras rendah pada tempoh ini, berikutan peningkatan yang rendah dalam kadar gaji dan juga persaingan sengit dalam perniagaan.”
“Kadar pengangguran dijangka akan terus berkurangan dengan inflasi akan menuju sasaran tetapi secara beransur-ansur.”
Lowe juga telah beberapa kali mengulangi komen bahawa bank pusat tidak melihat kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.
Dalam ucapan Gabenor Lowe, beliau mengulangi kebimbangannya terhadap paras hutan yang tinggi dan tahap pendapatan rendah isirumah dan impaknya kepada perbelanjaan isirumah.
Dengan pengumuman bank pusat tengah hari tadi, RBA menunjukkan pasaran bahawa mereka tidaklah terburu-buru untuk menaikkan kadar faedah pada masa ini.
Jadi apakah penyebab kenaikan matawang AUD sejak pagi tadi?
Matawang AUD adalah antara matawang yang paling banyak mendapat keuntungan pada Selasa. Kita dapat lihat kenaikan AUD/USD sejak awal sesi Asia sehinggalah pada pukul 4.09 petang pada masa artikel ini ditulis. Bukan itu sahaja, NZD juga membuat kenaikan mengikuti jejak langkan AUD. Tidak ada apa yang perlu dihairankan dengan situasi ini kerana kedua-dua matawang ini sering bergerak seiring disebabkan kebergantungan dan asas ekonomi yang hampir serupa.
Data PMI sektor pembuatan Australia adalah penyebab lonjakan matawang AUD sejak awal sesi Asia. Data merekodkan bacaan tertinggi 63.1 pada bulan lalu yang tertinggi sejak hampir 16 tahun lepas.