Tumpuan pada sesi pasaran Asia hari ini adalah terarah pada laporan data pekerjaan Australia yang memacu pergerakan nilai matawang dolar AUD.
Berdasarkan laporan data yang diterbitkan oleh Biro Statistik Australia (ABS), ekonomi telah kehilangan sebanyak -19,000 pekerjaan pada Oktober. Angka tersebut jauh meleset berbanding jangkaan pertambahan pada anggaran 15,000 bilangan pekerjaan.
Turut menambahkan lagi kebimbangan apabila kadar pengangguran di Australia pada bulan Oktober mencatatkan peningkatan kepada 5.3%, daripada 5.2% bulan sebelumnya. Kenaikan tersebut merupakan paras tertinggi bagi tahun ini.
Susulan data pekerjaan dikeluarkan, harga pada carta pasangan matawang AUD/USD telah menjunam sekitar 40 pips dari paras ketinggian 0.68400.
Penyusutan dagangan Aussie turut didorong oleh data ekonomi China yang menyusul dengan bacaan keseluruhan dilihat lemah.
Bacaan data tahunan pengeluaran perindustrian serta jualan runcit China masing-masing mencatatkan penurunan lebih rendah berbanding jangkaan pasaran.
Penurunan harga yang ditunjukkan telah melepasi zon support 0.68100 yang diuji ketika dagangan Oktober lalu. Harga kini menuju ke paras lebih rendah dijangka ke paras sekitar support 0.67800.
Dengan momentum penurunan harga yang terus dikekalkan, harga bakal turun sekitar 40 hingga 50 pips ke paras lebih rendah, mencatatkan paras terendah yang terbaru.
Namun jika harga kembali melonjak, garisan halangan Moving Average 50 (MA50) perlu dilepasi harga terlebih dahulu sebelum harga menguji zon SBR (support become resistance) pada 0.68500.
Lihat gambar carta pasangan matawang di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.