Seperti yang dijangkakan dalam analisis sebelum ini, pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD telah melonjak ekoran didorong oleh data ekonomi China yang mengukuh.
Pada sesi pasaran Asia pagi ini pula, Aussie terus mengekalkan pengukuhan susulan keputusan mesyuarat bank pusat Australia diterbitkan pada jam 11.30 pagi.
Reserve Bank of Australia (RBA) telah mengekalkan kadar faedah di paras 0.75% seperti yang diramalkan pasaran. Aussie dijangka kukuh menuju mesyuarat seterusnya pada Februari 2020.
Susulan keputusan mesyuarat tersebut, dagangan pada AUD/USD telah melonjak lebih tinggi menyambung kenaikan semalam merekodkan paras ketinggian terbaru untuk 2 minggu.
Harga yang memulakan dagangan serendah paras 0.67600 semalam kemudiannya telah mempamerkan kenaikan lebih 60 pips melepasi paras tumpuan pada 0.68200.
Bersambung pada sesi Asia hari ini, harga terus menyambung kenaikan dan melepasi paras resistance 0.68300 yang berada pada zon SBR (support become resistance).
Harga masih meneruskan kenaikan namun momentum harga mula terlihat lemah menuju ke sesi pasaran Eropah.
Kenaikan harga juga turut disokong oleh faktor penyusutan dagangan dolar USD setelah data PMI Pembuatan yang diterbitkan semalam menunjukkan penguncupan 4 bulan berturut-turut bagi aktiviti perkilangan di Amerika Syarikat.
Kenaikan lebih tinggi dijangka akan ke paras sekitar 0.68650 atau 0.68800 yang juga berada pada zon SBR utama bagi carta AUD/USD.
Walaupun diramalkan kukuh, faktor dagangan seperti rundingan AS-China bakal mempengaruhi dagangan Aussie dan membantutkan pengukuhan harga.
Jika harga kembali mencatatkan penurunan semula, zon RBS (resistance become support) sekitar 0.67700 yang menjadi tumpuan harga sejak 2 minggu lalu, akan kembali menjadi destinasi penurunan harga.
Pantau juga data pertumbuhan GDP, jualan runcit dan juga imbangan dagangan Australia pada minggu ini.
Lihat gambar carta pasangan matawang AUD/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.