Ekoran berang dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang cuba untuk ‘mengusik’ Taiwan, China menghantar dua jet pejuang di Selat Taiwan hari ini.
Jet pejuang itu dikesan oleh radar misil antipesawat Taiwan kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan hari ini, sebelum Ketua Pegawai Kesihatan AS, Alex Azar bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen.
Menurut kenyataan tentera udara Taiwan yang dikeluarkan oleh kementerian pertahanan, dua jet berkenaan ‘dihalau keluar’ oleh pesawat peronda Taiwan.
China dikatakan tidak suka dengan tindakan AS yang cuba mengganggu ‘wilayah jajahannya’ iaitu Taiwan dan Hong Kong.
Pentadbiran Trump mahu mengukuhkan sokongannya terhadap Taiwan dan meningkatkan penjualan senjata ke negara itu.
Lawatan Azar adalah kali pertama melibatkan pegawai tertinggi AS dalam tempoh empat dekad.
Lawatan terbabit bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan kesihatan awam selain menyokong peranan antarabangsa Taiwan dalam membasmi pandemik Covid-19.
Taiwan dikatakan berjaya mencegah Covid-19 dengan cepat dan efektif apabila hanya mencatatkan 480 kes sahaja termasuk 7 kematian. Kebanyakan kes berkenaan adalah kes import.
Dalam pada itu, Ing-wen memaklumkan lawatan Azar mewakili ‘langkah besar terhadap kerjasama anti-pandemik antara kedua-dua negara’.