Berikutan daripada kes Covid-19 yang terus meningkat di UK, Perdana Menteri Boris Johnson dijangka akan mengumumkan langkah-langkah sekatan baru untuk membendung penularan coronavirus di negara itu.
Menjelang pengumuman itu, Menteri Kabinet UK, Michael Gove yang bercakap kepada Sky News memberitahu bahawa sekolah akan tetap dibuka sementara orang ramai pula digalakkan untuk bekerja dari rumah semula.
Tambahan daripada itu juga, pub, bar dan restoran di seluruh England akan diarahkan untuk ditutup sebelum jam 10 malam bermula Khamis, manakala sektor perhotelan pula akan dihadkan.
Susulan daripada itu, matawang pound sterling jatuh ke paras terendah 2 bulan berbanding USD sebelum kembali meningkat semula susulan kenyataan Gabenor Bank of England (BOE) Andrew Bailey.
Gabenor Bailey memberitahu bahawa kenyataan terbaru BOE pada mesyuarat polisi minggu lepas tidak menunjukkan bahawa bank pusat akan menggunakan kadar faedah negatif.
Sebaliknya, ia hanya mengatakan bahawa pembuat dasar perlu tahu bagaimana untuk kadar faedah negatif akan diterapkan dan setakat ini, masih tidak ada keperluan untuk ke arah itu.
Walaupun dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pound, namun, dagangan matawang itu dijangka bakal terus menerima tekanan berikutan langkah-langkah sekatan terbaru yang bakal diumumkan secara terperinci oleh PM Johnson pada malam ini.