Pembukaan sesi pasaran Asia memperlihatkan dagangan dolar Aussie jatuh setelah data inflasi Australia bagi suku kedua 2020 menunjukkan bacaan yang mengecewakan.
Menurut data yang diterbitkan oleh Biro Statistik Australia (ABS), indeks harga pengguna Australia menjunam -1.9% pada suku bulan Jun.
Penurunan ini sememangnya dijangkakan ekoran aktiviti ekonomi yang terhenti pada bulan April dan Mei disebabkan perlaksanaan perintah berkurung untuk membantu membendung penularan Covid-19.
Tekanan penurunan ini juga mungkin berpunca daripada peningkatan semula kes baru jangkitan Covid-19 di Australia sehingga menyebabkan sekatan ekonomi dilaksanakan semula di Melbourne.
Secara keseluruhannya, penyusutan ini menjadikan kadar inflasi tahunan menjadi -0.3% bacaaan negatif pertama yang pernah direkodkan sejak 1998, dan tersasar jauh dari sasaran Reserve Bank of Australia (RBA) pada 2-3%.
Susulan daripada bacaan yang lebih lemah daripada jangkaan ini, pasangan matawang dolar Aussie mencatatkan penyusutan kira-kira 20 pips berbanding USD dan didagangkan berlegar di sekitar paras harga 0.7164.
Dalam pada itu, kenaikan yang diraih oleh US dolar hanya buat sementara apabila matawang itu kembali didagangkan menyusut ketika memasuki sesi New York di sekitar paras terendah dua tahun berbanding sekumpulan matawang utama.
Tumpuan utama pasaran kini terarah kepada mesyuarat polisi FOMC yang telah bermula pada Selasa untuk mendapatkan kejelasan lebih lanjut mengenai pandangan Federal Reserve (Fed) terhadap dasar monetari semasa.