Perdana Menteri UK Boris Johnson dilaporkan merancang untuk kembali ke Downing Street secepatnya pada hari Isnin ini untuk mengambil alih semula tugasnya dalam menangani krisis pandemik coronavirus di negara itu.
Memetik kepada laporan Telegraph UK, beliau dikatakan telah memberitahu pembantunya supaya menjadualkan pertemuan bersama dengan para menteri Kabinet pada minggu depan.
PM Johnson telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada awal bulan ini berikutan tahap kesihatannya bertambah buruk setelah beliau disahkan positif COVID-19 dan menghidapi gejala yang berterusan.
Apabila beliau kembali bekerja, keputusan sama ada untuk mengurangkan atau mengangkat arahan perintah berkurung yang telah menjejaskan aktiviti ekonomi di negara itu, akan diputuskan oleh PM Johnson.
Terdahulu, menteri-menteri kanan Kabinet meluahkan kebimbangan mereka terhadap penutupan ekonomi yang berpanjangan akan menyebabkan puluhan ribu syarikat terjejas dan menimbulkan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan UK Matt Hancock memberitahu bahawa ia masih terlalu awal untuk melonggarkan perintah berkurung di negara itu berikutan kadar kematian akibat COVID-19 masih terlalu tinggi.
Kerajaan Boris Johnson baru-baru ini telah menerima kritikan berikutan kelewatanya untuk bertindak dalam membendung wabak ini dari merebak ke UK, ketika penularannya semakin meluas di China.