Kerajaan dilaporkan dalam peringkat akhir perbincangan meneliti pengurangan kadar tol sebanyak 18% di semua lebuh raya PLUS yang sebelum ini dilaksanakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbincangan itu dikendalikan oleh beberapa pihak, termasuklah Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS).
“Ketika membuat keputusan, kami mengambil kira semua perkara. Dan semestinya, apabila kami membuat penelitian, ini bermakna kami merasakan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan PH boleh ditambah baik dan itu adalah sebabnya kami melakukan penelitian,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Damansara, Tony Pua di Dewan Rakyat hari ini.
Pengguna lebuh raya PLUS, kecuali untuk kenderaan kelas 2, 3, 6 dan 7 di Jambatan Pulau Pinang, telah menikmati kadar diskaun tol sebanyak 18%.
“Berdasarkan anggaran kerajaan terdahulu, diskaun yang dilaksanakan akan membantu pengguna lebuh raya PLUS menikmati penjimatan kira-kira RM1.1 bilion menjelang 2038,” ujar Mustapa seperti dipetik oleh The Edge.