Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Kevin Mayer meletakkan jawatannya walaupun hanya baru 2 bulan mengambil alih syarikat terbabit.
Firma berkenaan sebelum ini dituduh memberi ancaman kepada keselamatan nasional Amerika Syarikat (AS) oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Tiktok diberikan tempoh selama 90 hari untuk menjual pemilikan syarikat itu kepada firma AS atau berdepan tindakan keras.
“Dalam tempoh beberapa minggu ini, seiring dengan perubahan politik yang mendadak, saya telah melakukan perubahan yang memenuhi keperluan struktur korporat.
“Dengan berat hati, saya ingin memberitahu anda semua bahawa saya memutuskan untuk meninggalkan syarikat ini,” kata Mayer menerusi surat yang dikeluarkan kepada para pekerjanya.
Mayer dibawa masuk ke TikTok untuk membantu melancarkan perjalanan firma tersebut dalam pasaran AS dan boleh memudahkan rundingan dengan pentadbiran Trump berbanding CEO dari China.
Namun, tekanan daripada pentadbiran Trump dilihat kian memuncak.
Awal bulan ini, Trump menandatangani perintah eksekutif yang akan menyekat operasi TikTok di AS sekiranya pemilikannya tidak dijual menjelang pertengahan bulan hadapan.