Tertekan dengan tekanan tiada henti dari Amerika Syarikat (AS) terhadap firmanya, ByteDance, syarikat aplikasi TikTok menyelar Facebook dengan tuduhan plagiat dan kerosakan.
Dikatakan ByteDance berhadapan dengan pelbagai konflik yang kompleks termasuk keadaan politik antarabangsa yang sengit, pertembungan dan konflik perbezaan budaya serta plagiat dan kerosakan imej mereka.
Walau bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Beijing itu tidak menjelaskan kenyataan tersebut dengan lebih lanjut. Sebaliknya menyatakan pihak mereka menjuruskan dakwaan itu kepada warga tempatan China.
Terbaharu pada hari ini, presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi ByteDance selama 45 hari untuk membuat keputusan menjual TikTok kepada Microsoft Corp. Tempoh diberi akan berakhir pada 15 September.
Sebelum ini, Washington berkali-kali memberi tekanan kepada aplikasi tersebut, menuduh platform media sosial itu mencuri data pengguna AS dan dihantar kepada kerajaan China. Dakwaan tersebut disangkal TikTok.
Berikutan daripada itu, Trump telah membuat keputusan untuk menyekat pengguna aplikasi tersebut, sekaligus mengeruhkan lagi hubungan AS-China.
Facebook memilih untuk mendiamkan diri apabila dihubungi oleh pihak media berkenaan isu ini. Bulan lalu, aplikasi terbarunya Lasso, mempunyai fungsi merakam video sehingga 15 saat dengan tindihan lagu pilihan terpaksa dipadam berikutan menerima tekanan persaingan dari TikTok.
Terkini, Facebook sedang mengusahakan Instagram Reels, mirip TikTok dan menjadi tumpuan CEO TikTok, Kevin Mayer, mencabar Facebook untuk bersaing secara terbuka.