Pada hari ini, sebuah badan terkemuka iaitu Economist Intelligence Unit (EIU) telah mengeluarkan laporan mengenai unjuran KNDK pada masa akan datang. Menurut EIU, KDNK global tidak akan kembali pada paras yang dikecapi semasa sebelum penularan wabak Covid-19.
Perintah berkurung yang dikenakan oleh pemerintah telah menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti. Bagi menghambat masalah ini, pemerintah terpaksa melancarkan rangsangan fiskal jutaan dolar bagi membantu sektor-sektor ekonomi yang terkesan.
Tambah EIU, pemerintah negara-negara maju cenderung membelanjakan perbelanjaan awam dengan nilai jumlah yang lebih tinggi dan hal ini telah meningkatkan hutang awam negara. Justeru tidak hairan jika kita menyaksikan peningkatan yang tinggi dalam hutang awam pada tahun ini.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kerajaan berkemungkinan tidak dapat mengendalikan defisit fiskal ini melalui pemotongan perbelanjaan negara. Antara tindakan yang mungkin dilakukan oleh kerajaan iala meningkatkan hasil fiskal melalui peningkatan cukai pendapatan korporat dan individu.
Bagi Zon Eropah, ahli ekonomi EIU mengingatkan bahwa negara maju di zon Eropah berkemungkinan akan kembali kepada fasa krisis hutang 9 tahun lalu. Negara seperti Sepanyol dan Itali adalah antara negara Eropah yang akan terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.
Atas dasar itu, bank pusat Eropah telah mengambil tindakan pantas dengan mengumumkan pakej rangsangan bagi membendung Zon Eropah terhimpit dalam situasi krisis hutang sekali lagi.