Permulaan sesi pasaran Eropah memperlihatkan dagangan matawang utama mula menokok lebih tinggi berbanding US dolar dengan semua tumpuan kini tertumpu pada pilihan raya Amerika Syarikat.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama didagangkan jatuh 0.3% pada 93.71, susut dari paras ketinggian satu bulan yang dicapainya pada Isnin.
Kemerosotan US dolar telah membantu matawang euro untuk mencatatkan peningkatan dengan didagangkan di sekitar harga 1.1670.
Matawang pound turut memanfaatkan peluang untuk meningkat meskipun dihimpit oleh tekanan yang berterusan disebabkan perlaksanaan langkah sekatan baru yang diumumkan di UK dan ketidakpastian Brexit.
Dolar Aussie juga meningkat lebih tinggi walaupun selepas keputusan Reserve Bank of Australia (RBA) yang menurunkan kadar faedah ke tahap terendah 0.10% dan meningkatkan program pembelian bonnya pada mesyuarat polisi hari ini.
Matawang komoditi lain, dolar New Zealand dan dolar Kanada juga memantapkan pengukuhan berbanding US dolar dengan menokok lebih tinggi pada sesi Eropah.
Walau bagaimanapun, para pelabur tetapi berhati-hati dengan peningkatan yang dipamerkan oleh matawang utama kerana ia boleh berubah sekelip mata sahaja di tengah-tengah ketidakpastian mengenai keputusan pilihan raya.
Tinjauan terbaru pungutan suara menunjukkan Joe Biden masih mendahului Presiden Donald Trump, namun jurang perbezaan antara kedua-dua calon kini semakin mengecil dengan hampir 100 juta warga Amerika telah melaksanakan undian mereka.