Minyak mentah terus didagangkan meningkat setelah melonjak lebih 5% pada sesi dagangan sebelum ini yang disokong oleh laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah pulang ke White House setelah menjalani rawatan Covid-19 selama 3 hari di hospital.
Penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat pada $41.45 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula didagangkan positif pada $39.37 setong.
Selain itu, dagangan komoditi hitam itu turut disokong oleh harapan yang meningkat bahawa kesepakatan dapat dicapai dalam rundingan pakej rangsangan fiskal untuk menyokong ekonomi.
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin terus berusaha merapatkan jurang perbezaan antara dua pihak untuk mencapai kesepakatan. Pusingan rundingan seterusnya dilaporkan akan diteruskan lagi pada hari ini.
Dalam pada itu, kekacauan yang semakin meningkat akibat mogok oleh pekerja-pekerja di Norway yang menyebabkan enam fasiliti minyak dan gas ditutup serta ancaman ribut tropika Delta turut menyokong harga minyak mentah.
Gerakan mogok di Norway dijangka akan mengakibatkan pengurangan kapasiti jumlah pengeluaran negara lebih 330,000 tong sehari, atau 8% daripada jumlah pengeluaran, menurut Persatuan Minyak dan Gas Norway.