Dagangan emas hitam stabil selepas melonjak 3% pada sesi sebelum ini didorong oleh ancaman taufan Delta yang telah memaksa penutupan hampir 92% pengeluaran di Teluk Mexico.
Penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $43.16 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pada $41.02 setong.
Pasaran kini terus memantau impak terhadap pengeluaran AS yang dijejaskan oleh taufan Delta. Pengeluar minyak telah mengeluarkan 183 kemudahan dan menghentikan pengeluaran hampir 1.5 juta tong sehari.
Kedua-dua penanda aras itu telah mencatatkan peningkatan sekitar 10% pada minggu ini, iaitu kenaikan pertama dalam tempoh tiga minggu yang dipacu lebih tinggi oleh prospek pengurangan pengeluaran disebabkan gerakan mogok pekerja Norway.
Gerakan mogok di Norway dijangka akan mengakibatkan pengurangan kapasiti jumlah pengeluaran negara lebih 330,000 tong sehari, atau 8% daripada jumlah pengeluaran, menurut Persatuan Minyak dan Gas Norway.
Sementara itu, harga minyak turut disokong oleh sentimen positif dalam pasaran susulan keyakinan yang meningkat ekoran rundingan mengenai pakej rangsangan fiskal AS yang dimulakan semula setelah dihentikan oleh Presiden Donald Trump.