Satu kajian terbaharu di Brazil mendapati mereka yang pernah dijangkiti penyakit denggi berkemungkinan mempunyai tahap imunisasi yang tertentu terhadap wabak Covid-19.
Kajian yang diketuai oleh seorang profesor dari Duke University, Miguel Nicolelis, membandingkan penyebaran kes coronavirus dengan denggi secara geografi pada tahun lepas dan tahun ini.
Tempat-tempat yang mengalami penularan denggi yang teruk pada tahun lepas dan tahun ini, dilaporkan mempunyai kadar jangkitan coronavirus rendah dan pertumbuhan kes yang perlahan.
“Penemuan yang mengejutkan ini meningkatkan kemungkinan wujud reaksi silang antara Flavivirus serotypes denggi dan SARS-CoV-2.
“Jika terbukti betul, hipotesis ini bermakna jangkitan dengki atau imunisasi dengan vaksin denggi yang berkesan serta selamat dapat menghasilkan sejumlah tahap perlindungan imunologi terhadap coronavirus,” kata Nicolelis.
Tambah beliau, penemuan itu dilihat menarik kerana kajian terdahulu menunjukkan individu yang mempunyai antibodi denggi dalam darah mereka, akan didapati positif Covid-19 meskipun mereka tidak pernah dijangkiti virus tersebut.
“Ini menunjukkan wujud interaksi imunologi antara dua virus yang tiada sesiapa jangkakan kerana kedua-dua virus daripada dua keluarga yang berbeza,” jelas Nicolelis sambil menambah kajian lebih lanjut diperlukan bagi membuktikan hipotesis itu.