Kadar inflasi UK menjunam pada bulan April ke paras terendah sejak Ogos 2016 didorong oleh kejatuhan harga bahan bakar dan perlaksanaan perintah berkurung yang menyebabkan hampir semua aktiviti ekonomi terhenti.
Menurut Jabatan Statistik Negara (ONS), indeks harga pengguna (CPI) UK mencatat kejatuhan ketara pada bulan April kepada 0.8% daripada 1.5% yang dicatatkan pada Mac, dan sedikit tersasar dari jangkaan untuk meningkat 0.9%.
Sementara itu, bacaan inflasi teras (tidak termasuk makanan dan barangan tenaga) pula mencatat pertumbuhan sebanyak 1.4% secara tahunan berbanding 1.6% yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Secara bulanan, harga pengguna UK yang dicatatkan sedikit tersasar dari jangkaan pasaran dengan mencatatkan penguncupan sebanyak 0.2%, setelah tiada pertumbuhan direkodkan pada bulan Mac.
Antara penyumbang utama kepada penyusutan inflasi pada April adalah disebabkan oleh kejatuhan harga petrol dan diesel. Menurut ONS, kejatuhan harga purata petrol yang direkodkan antara bulan Mac dan April, merupakan yang terbesar sejak rekod bermula pada tahun 1990.
Laporan ini menunjukkan lebih banyak kesan coronavirus ke atas ekonomi UK, menyusuli data tuntutan faedah pengangguran pada bulan April yang diterbitkan semalam turut merekodkan lonjakan.
Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak dalam satu kenyataannya pada Selasa, memberitahu bahawa negara kini sedang menuju ke arah kemelesetan yang paling teruk, iaitu sehingga tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Malah, pemulihan ekonomi UK juga dijangka akan mengambil masa untuk kembali kepada normal, walaupun beliau turut mengharapkan pemulihan yang lebih cepat.