Menjelang mesyuarat dasar Bank of England (BoE) malam ini, penganalisis pasaran masih berteka-teki sama ada bank pusat akan menurunkan kadar faedah mereka buat pertama kali dalam tempoh lebih 3 tahun.
Dengan jangkaan pasaran sebanyak 50/50 peluang untuk pemotongan oleh BoE, dagangan matawang pound dijangka bakal mengalami kejatuhan ketara jika bank pusat memutuskan pengurangan kadar faedah.
Pada mesyuarat BoE pada November dan Disember lalu, dua ahli BoE Michael Saunders dan Jonathan Haskel telah mengundi untuk menurunkan kadar faedah berikutan tanda-tanda kelembapan ekonomi.
Sementara tiga lagi ahli termasuk Gabenor BoE Mark Carney, Gertjan Vlieghe dan Silvana Tenreyro pula memberi isyarat bahawa mereka akan menyokong pemotongan kadar disebabkan kelemahan dalam indikator ekonomi.
Ini menyebabkan jangkaan pemotongan oleh BoE semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas beberapa penurunan turut dicatatkan dalam data ekonomi termasuk jualan runcit UK pada Disember hanya bertumbuh 0.9% manakala pertumbuhan ekonomi GDP pula menguncup -0.3% pada November 2019.
Selain itu, kelemahan bacaan inflasi pada Disember turut memberi pertimbangan untuk BoE untuk mengenakan langkah rangsangan, di mana ia hanya mencatat peningkatan sebanyak 1.3% yang juga merupakan pertumbuhan terkecil sejak November 2016.
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa peningkatan dalam ekonomi UK terutama dalam bacaan data PMI, khususnya selepas kemenangan Perdana Menteri Boris Johnson pada pilihan raya Disember lalu telah meningkatkan keyakinan perniagaan buat syarikat Britain sekali gus membuatkan pasaran kembali mempertimbangkan keputusan bank pusat.
Keputusan malam ini juga bakal menyaksikan mesyuarat terakhir Mark Carney sebagai Gabenor BoE yang akan digantikan oleh Andrew Bailey.