Matawang pound yang turut dipengaruhi oleh sentimen semasa yang berisiko dan jangkaan terhadap perlaksanaan kadar faedah negatif oleh Bank of England (BOE), terus mempamerkan penyusutan pada pembukaan sesi Eropah.
Dove Ramsden, ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BOE, dalam satu kenyataan terbarunya kepada Reuters hari ini, turut mengatakan pandangannya terhadap kadar faedah negatif.
Menurut beliau, ia adalah sangat wajar untuk berfikiran terbuka terhadap kadar faedah negatif, bagaimanapun, ia merupakan isu yang rumit dan akan memakan masa untuk difikirkan.
Selain itu, Ramsden juga tidak menolak mengenai kemungkinan bank pusat akan meningkatkan program pembelian bon memandangkan ramai penganalisis yang menjangkakan BOE akan berbuat demikian pada mesyuarat polisi bulan depan.
Pertikaian AS-China yang diburukkan lagi oleh tindakan Beijing yang mengusulkan undang-undang keselamatan baru di Hong Kong untuk menyekat campur tangan asing dari luar, turut memberi tekanan kepada matawang pound.
Sementara itu, kesan penutupan perniagaan terus memberi kesan kepada bacaan data ekonomi, di mana data jualan runcit UK yang diterbitkan hari ini menunjukkan penguncupan dua angka pada bulan April.
Pejabat Perangkaan UK (ONS) melaporkan jualan runcit UK menjunam 18.1%, menyusuli penguncupan yang disemak semula 5.2% pada bulan lalu, dan lebih buruk daropada jangkaan pasaran untuk penurunan sebanyak 16%.
Dalam pada itu, semua sektor memperlihatkan kemerosotan dalam jumlah jualan bulanan kecuali penjualan peruncitan bukan kedai yang merekodkan kenaikan sebanyak 18% pada bulan April.